Kelogikan Hari Akhirat (Afterlife)
Pada penghujung surah Yasin, Tuhan memberi 4 dalil logik yang boleh kita ambil dan pahatkan dalam fikiran kita tentang kewujudan hari kebangkitan semula atau yang disebut hari Akhirat. Mari kita lihat surah Yasin ayat ke-79 hingga 82:
{ قُلۡ يُحۡيِيهَا ٱلَّذِيٓ أَنشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٖۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلۡقٍ عَلِيمٌ }
Terjemahan: Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
{ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلشَّجَرِ ٱلۡأَخۡضَرِ نَارٗا فَإِذَآ أَنتُم مِّنۡهُ تُوقِدُونَ }
Terjemahan: "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".
{ أَوَلَيۡسَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ بِقَٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يَخۡلُقَ مِثۡلَهُمۚ بَلَىٰ وَهُوَ ٱلۡخَلَّٰقُ ٱلۡعَلِيمُ }
Terjemahan: Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
{ إِنَّمَآ أَمۡرُهُۥٓ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـًٔا أَن يَقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ }
Terjemahan: Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.
Sebahagian ulama' mengekstrak beberapa dalil logik untuk kewujudan hari akhirat. Dalil-dalil itu adalah seperti berikut:
1) Tuhan yang mampu mencipta kali pertama, sudah tentu mampu mencipta untuk kali kedua. Ini diambil dari ayat ke-79.
2) Entiti yang mampu menghasilkan kejadian manusia dalam satu sifat, mampu juga menjadikan manusia dalam sifat yang berlawanan dengan sifat tadi. Sebagai contoh, Tuhan mematikan manusia menjadi mayat yang kering dan sejuk membeku. Tuhan itu jugalah yang mampu untuk menghidupkan kembali mayat tersebut menjadi tubuh yang panas dan basah sebagaimana api yang membakar boleh ada pada dedaun yang hijau menyejuk seperti disebut dalam ayat. Ini diambil dari ayat ke-80.
3) Entiti yang mampu mencipta ciptaan yang lebih hebat dari manusia seperti langit, bumi dan segala macam cakerawala, sudah tentu boleh mencipta kembali kejadian manusia. Ini dari ayat ke-81.
4) Entiti (Tuhan) ini menciptakan manusia tanpa sebarang alat teknologi atau pertolongan, sudah tentu tiada masalah bagiNya untuk mencipta kembali. Ini diambil dari ayat ke-82.
Kalau pembaca rajin, boleh cari Taruhan Pascal atau Pascal's Wager berkenaan kewujudan hari akhirat dan Tuhan.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment