Status kisah terpadamnya api sembahan Majusi ketika lahirnya Nabi Muhammad SAW. Adakah ia palsu?
Assalamualaikum semua, saya telah melakukan sedikit takhrij berkenaan kisah berkenaan terpadamnya api sembahan kelompok Majusi di Parsi ketika kelahiran Nabi Muhammad SAW
Secara ringkasnya, kisah ini berstatus hasan, kerana saya telah menemui 2 sanad yang berlainan bagi kisah ini.
Sanad pertama direkodkan oleh at-Tabari di dalam tarikhnya, al-Khara'iti di dalam Hawatif al-Jann, Ibn Abi Dunya sebagaimana yang disebutkan oleh al-Zahabi di dalam Tarikh al-Islam, Abu Nu'aim di dalam salah satu riwayatnya di dalam Dala'il al-Nubuwwah dan al-Baihaqi di dalam Dala'il al-Nubuwwah melalui jalur Ali b. Harb al-Mawsili & Muhammad b. Ja'far b. A'yan; keduanya dari Abu Ayyub Ya'la b. Imran atau Ya'la b. al-Nu'man al Bajali dari Makhzum b. Hani' al-Makhzumi dari bapanya. Kesimpulannya, sanad ini lemah (dhoif) kerana ia mursal dan padanya majhul iaitu Makhzum b. Hani' al-Makhzumi.
Sanad kedua pula disebutkan oleh Ibn al-Athir di dalam Usd al-Ghabah dan disandarkan kepada Abu Musa al-Madini dan Abu Nu'aim al-Asbahani. Ibn Hajar di dalam al-Isobah pula menisbahkan riwayat ini kepada 'Abdan di dalam Ma'rifah al-Sohabah melalui jalur Sa'id b. Muzahim, dari Makruf b. Kharbuz, dari Basyar b. Tayyim. Kesimpulannya, sanad ini lemah (dhoif) kerana lemahnya Sa'id b. Muzahim.
Bahkan, terdapat satu lagi sanad dhoif yang mu'dhol mu'allaq (gugur sekurangnya 2 orang perawi) di dalam al-Iqd al-Farid.
Maka kisah ini dengan kesemua sanad ini boleh menjadi hasan atau sekurangnya lemah (dhoif) dan bukannya palsu.
Untuk pengetahuan semua, periwayatan sirah tidak memerlukan kita untuk mencari semua yang sahih belaka. Hadith dhoif juga boleh digunapakai di dalam sirah di samping sahih dan hasan. Imam Ahmad berkata: "Ibn Ishaq ialah orang yang boleh untuk kita rekodkan hadith seperti ini (beliau maksudkan hadith sirah, maghazi dan seumpamanya). Adapun hadith yang padanya halal & haram, maka kita perlukan orang yang sebegini", lantas beliau menggenggam 4 jarinya selain ibu jari. Itulah manhaj ulama' sirah sejak zaman berzaman. Lihat mukadimah Dala'il al-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi.
Jadi hadith palsu sebenarnya berbeza dengan dhoif. Hadith palsu haram untuk kita riwayatkan dan sebarkan sebagaimana yang disebut di dalam Muqaddimah Ibn Solah berbeza dengan hadith dhoif. Hadith yang berstatus dhoif (lemah) boleh disebarkan dengan syarat perlunya penerangan bahawa ia dhoif.
Kesimpulannya, alhamdulillah dengan kajian ringkas yang saya lakukan ini saya katakan kisah ini berstatus hasan dengan kesemua jalan tersebut.
Berikut merupakan kajian ringkas yang saya lakukan
Comments
Post a Comment