Iman kepada Allah dan Hari Akhirat melazimkan baki rukun iman yang lain.

Kenapa kadang-kadang ayat tentang iman kepada Allah di dalam al-Quran selalu disertai dengan iman dengan hari Akhirat tanpa disertai dengan baki rukun yang lain dalam rukun iman seperti beriman kepada malaikat, rasul, kitab dan qada' dan qadar? Sebagai contoh

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَادُواْ وَٱلنَّصَٰرَىٰ وَٱلصَّٰبِـِٔينَ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا فَلَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ

(Abdullah Muhammad Basmeih)
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

-Surah Al-Baqarah, Ayah 62

Jawapannya adalah kerana iman kepada rasul itu terkandung dalam iman kepada hari akhirat kerana hari kebangkitan itu tidak diketahui tanpa datangnya rasul yang memberitahu perkara tersebut (1).

Kebenaran rasul pula datang dari kitab yang bermukjizat, yang melemahkan manusia (arab dan bukan arab) untuk menghasilkan seumpama al-Quran pada gaya bahasa, kefasihan dan aspek kemukjizatan yang lain seperti perkara silam yang lampau semisal sejarah kaum-kaum terdahulu dan perkara akan datang yang bakal berlaku semisal hari kiamat sekaligus menjadi bukti ia datang dari Tuhan. 

Setelah itu, rasul akan menceritakan dan menerangkan apa yang wajib diimani oleh seseorang selaku mukmin seperti beriman kepada malaikat, hari kiamat, qada' & qadar. Begitulah hubung kait dari sudut akal antara iman kepada Allah dan hari akhirat. 

Tuntasnya, yang demikian merupakan antara sebab kenapa memadai disebutkan iman kepada Allah dan hari akhirat. Selain itu, jika disebutkan tentang iman kepada Allah dan hari akhirat sahaja sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan manusia gentar (2) dan berfikir tentang amalan yang mereka bawa untuk dihitung ketika menghadap Tuhan kelak, adakah masih cukup? 

(1) Imam Abu Hayyan ketika mentafsirkan ayat al-Quran yang disebut tadi dalam al-Bahr al-Muhit
(2) al-Hafiz Abdullah b. Muhammad b. as-Siddiq al-Ghumari di dalam at-Tahqiq al-Bahir dengan pengubahsuaian

Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Status kisah terpadamnya api sembahan Majusi ketika lahirnya Nabi Muhammad SAW. Adakah ia palsu?

Penghapusan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang di dalam hadith puasa hari Arafah