Hadith Sayyidina al-Abbas b. Abd al-Muttolib tentang siapa yang merasai kelazatan iman.


Syarahan hadith ذاق طعم الإيمان من رضي بالله برا والإسلام دينا وبمحمد رسولا

34 ( 56 ) حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ أَبِي عُمَرَ الْمَكِّيُّ ، وَبِشْرُ بْنُ الْحَكَمِ ، قَالَا : حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ - وَهُوَ ابْنُ مُحَمَّدٍ الدَّرَاوَرْدِيُّ - عَنْ يَزِيدَ بْنِ الْهَادِ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ ، عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ ، عَنِ الْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ ، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : " ذَاقَ طَعْمَ الْإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا ".


Dari Sayyidina al-Abbas b. Abd al-Muttolib -radhiyallahu anhu- bahawa sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah Sallahu alaihi wasallam bersabda: "Sungguh orang yang meredai Allah -subhanahu wata'ala- sebagai Tuhannya, agama Islam sebagai agamanya, dan Nabi Muhammad -Sallahu alaihiwasallam- sebagai utusan Tuhan benar-benar menikmati kelazatan rasa keimanan."


Imam Muslim merekodkannya di dalam Sahihnya, Imam al-Tirmidhi di dalam Jami'nya dan menilai hadith ini sebagai hasan sahih.


Orang yang berasa cukup dengan Allah, Islam & Nabi Muhammad tidak akan mencari selain Allah, tidak akan mencari cara hidup selain Islam, tidak akan berjalan melainkan pada jalan yang Nabi Muhammad sudah buka dan lalui. Seterusnya, mereka yang mencapai tahap ini -menurut Imam Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslimnya- akan mudah melakukan ketaatan kerana sudah menikmati ia sebagai makanan rohani. Pendek kata, ketaatan menjadi manifestasi cinta.


*1) Sayyidina al-Abbas b. Abd al-Muttolib merupakan pakcik Nabi, wafat sekitar tahun 32 H.

2) Pada hadith ini, terdapat uslub taqdim ma haqquhu al-ta'khir (mendahulukan perkataan yang sepatutnya dikemudiankan) pada kalimah maf'ul iaitu طعم الإيمان ke atas fa'ilnya iaitu isim mausul untuk menjadikan pendengar terpesona seakan-akan menunggu siapakah gerangan yang mencapai kelazatan iman (تشويق السامع من الأغراض البلاغية في باب التقديم).

3) Reda (رضا) ada 2 jenis menurut Abu al-Abbas al-Qurtubi di dalam al-Mufhim: 

1- Am: reda yang sinonim dengan mengakui, iaitu mengakui Allah sebagai Tuhan, Nabi Muhammad sebagai pesuruh Tuhan, Islam sebagai agama yang benar dan ini wajib ada dalam setiap diri muslim supaya sahih keimanannya dari sudut syarak

2 - Khas: iaitu reda seperti yang dimaksudkan di dalam hadith ini, yang bererti berasa cukup dengan Allah, Rasulullah dan Islam serta tidak mahu selainnya. Lantas, meredai dengan segala takdirnya Tuhan dan pentadbir alam, tidak mahu menempuh jalan melainkan jalan yang Islam pilih, mencintai Nabinya dan tidak mencari selainnya.


انتهى بتصرف من شرح صحيح مسلم للإمام النووي وشرح مختصره للإمام أبي العباس القرطبي

Comments

Popular posts from this blog

Status kisah terpadamnya api sembahan Majusi ketika lahirnya Nabi Muhammad SAW. Adakah ia palsu?

Iman kepada Allah dan Hari Akhirat melazimkan baki rukun iman yang lain.

Penghapusan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang di dalam hadith puasa hari Arafah